Wednesday, November 5, 2008

Bahasa Jiwa Bangsa - Semakin Kukuh atau Kian Luput?

Pendahuluan

Bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan Malaysia sejak merdeka lagi melalui akta bahasa kebangsaan 1957. Sejak itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh para pejuang bahasa bagi memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Namun, sejak akhir-akhir ini, peranan dan kedudukan Bahasa Melayu itu seakan terhakis dan terpinggir, lewat isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Bahkan bukan itu sahaja isu yang menarik perhatian kita. Isu iklan, penjenamaan produk dan syarikat, serta penggunaan bahasa rojak hatta di parlimen semakin hari kelihatan semakin parah dan membimbangkan. Adakah ungkapan bahasa jiwa bangsa sudah tidak lagi berada dalam hati kita? Adakah peranan Bahasa Melayu itu telah luput dari nurani kita? Tugasan ini akan mengupas isu tersebut secara keseluruhannya – dari kaca mata para mahasiswa universiti.

Definisi bahasa jiwa bangsa

Menurut Nordi Achie, “bahasa apa yang kita daulatkan maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita sekaligus memercikkan jati diri kebangsaan.” Maksud beliau di sini jelas menunjukkan peri pentingnya bahasa itu bagi mewujudkan jati diri sesuatu bangsa. Ini kerana dengan bahasalah dapat dibezakan antara bangsa-bangsa.

Memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman, “adalah wajar bagi kita sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan, negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian dan – apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak berjiwa dan tidak bernyawa”.

Bahasa jiwa bangsa di sini tidaklah bermaksud jiwa orang Melayu sahaja bahkan menjadi jiwa bangsa Malaysia. Walaupun pada asasnya Bahasa Melayu ialah pembawa budaya dan tradisi Melayu tetapi apabila bahasa ini menjadi bahasa semua kaum di negara ini, maka bahasa ini juga akan merupakan tadahan sejarah dan bahasa semua kaum itu.

Sejarah Bahasa Melayu di Zaman Kesultanan Melayu Melaka Hingga Kurun Ke-19

Bahasa Melayu mula memasuki era klasik mulai zaman Kesultanan Melayu Melaka. Peranan Bahasa Melayu klasik ini amat luas. Ini merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan; menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu, wadah utama pentadbiran serta perdagangan, malah menjadi bahasa pengantara dalam hubungan antarabangsa. Perkembangan Bahasa Melayu klasik ini dapat dibahagikan kepada 3 fasa; zaman Kesultanan Melayu Melaka, zaman Kerajaan Acheh, dan zaman Kesultanan Melayu Johor-Riau. Antara tokoh ilmuan terkenal dalam zaman Bahasa Melayu klasik ini adalah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel, di mana mereka banyak menulis kitab-kitab agama islam dan pelbagai karya2 kesusasteraan yang lain.

Menjelang kurun ke-19, Bahasa Melayu mula mengalami proses modenisasi dengan dipengaruhi oleh penjajah inggeris. tenggara. Pada masa itu, mereka memperkenalkan beberapa teknologi baru seperti alat pencetak dan kapal api. Hasilnya, penerbitan buku-buku, kitab-kitab dan majalah menjadi lebih mudah. Perkataan dari bahasa inggeris pun mula meresap ke dalam Bahasa Melayu. Tokoh penulisan pada zaman itu adalah Munsyi Abdullah, di mana hasil penulisan beliau dianggap sebagai permulaan zaman Bahasa Melayu moden.

Bahasa Melayu dalam Era Selepas Merdeka

Selepas negara mencapai kemerdekaan hingga ke akhir dekad 60-an, perkembangan Bahasa Melayu masih lagi dalam peringkat meyakinkan rakyat akan kemampuan Bahasa Melayu itu bagi menggantikan bahasa inggeris. Ini adalah kerana setelah begitu lama kita dijajah, hinggakan minda rakyat pada masa itu merasa ragu dan mempersoalkan kebijaksanaan menggantikan bahasa Inggeris, satu bahasa moden, dengan bahasa yang tidak begitu maju tarafnya, iaitu Bahasa Melayu.

Dalam dekad 70-an, usaha memantapkan penggunaan Bahasa Melayu mencapai tahap yang memberangsangkan. Bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, dalam urusan pentadbiran dan menjadi bahasa perhubungan awam. Namun begitu, terdapat dua kesan yanag amat ketara hasil dari usaha pengintensifan Bahasa Melayu ini:

1. Melalui usaha pelbagai pihak, baik dari kerajaan mahupun para pejuang bahasa, Bahasa Melayu yang pada mulanya disifatkan sebagai anak tiri telah mekar berkembang laksana sekuntum bunga yang harum

2. Perkembangan yang terlalau pesat itu juga telah membawa kepada gejala pencemaran bahasa dan bahasa rojak.

Dekad 80-an menyaksikan satu sejarah penting dalam perkembangan Bahasa Melayu di negara ini, kerana pada tahun 1983, Bahasa Melayu telah lengkap diajarkan dalam semua peringkat persekolahan hingga ke peringkat universiti. Dalam pelbagai bidang lain juga, penggunaan bahasa kebangsaan telah berjaya dicapai. Dapatlah dikatakan bahawa dekad 80-an merupakan dekad kematangan Bahasa Melayu

Kalau dalam tahun-tahun 70-an, penutur-penuturnya masih meraba-meraba dalam gelap, dan istilah-istilah dan ungkapan baru masih dicari-cari, maka tahun-tahun 80-an boleh dianggap sebagai zaman taraf kesempurnaan hampir tercapai. Istilah-istilah teknik dapat diperoleh dengan mudah. Gaya bahasa telah dikembangkan untuk membolehkan Bahasa Melayu memperkatakan sesuatu dengan tepat dan sempurna. Penutur-penuturnya, terutama di kalangan generasi muda, dapat mengeluarkan fikiran dan perasaan dengan sempurna dalam Bahasa Melayu.

Dasar-Dasar Bagi Memperkasakan Bahasa Melayu

• Dasar Bahasa Kebangsaan
Dasar Bahasa Kebangsaan ini termaktub dalam perkara 152 perlembagaan Malaysia, di mana dasar ini diwujudkan untuk tiga tujuan utama iaitu sebagai alat perpaduan bangsa, wadah jati diri negara, dan wahana untuk menyelesaikan masalah kecekapan komunikasi di peringkat pentadbiran negara yang menjangkau pelbagai bidang ilmu dan ranah kehidupan.

• Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Dasar ini diwujudkan atas dua objektif; pertama untuk membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara yang unik, dan yang kedua, menjadi saluran untuk mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan. Melalui dasar ini, kebudayaan asal rakyat rantau ini dijadikan sebagai teras utama, Islam sebagai agama rasmi dijadikan teras pembentukan budaya kebangsaan, dan kebudayaan kaum lain yang sesuai juga diterapkan.

• Dasar Pendidikan Kebangsaan
Dasar ini digubal bagi membentuk satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan seterusnya menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politik di negara kita. Antara dasar-dasar yang digubal adalah dengan menjadikan bahasa kebangsaan yakni Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama di setiap institusi pembelajaran di dalam negara. Ini bagi memastikan semua individu tahu menggunakan dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Selain itu, dasar ini juga digubal bagi mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun kepada setiap individu bagi memastikan mereka mahir dalam kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Ini juga penting kerana kemahiran asas ini boleh mempertingkat kebolehan individu jika terus diasah. Bak kata pepatah, ”belakang parang jika diasah lagikan tajam”.

Bahasa Melayu Dalam Era Ledakan Teknologi Maklumat pada tahun1990-an

Sejarah telah membuktikan Bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca (bahasa perantaraan) bagi daerah-daerah kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Bahasa Melayu juga telah digunakan sebagai bahasa perhubungan antara pedagang dan penduduk di Tanah Melayu. Dalam perkembangan era globalisasi dunia hari ini yang telah dipercepatkan oleh perkembangan tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT), ia meneruskan proses evolusi Bahasa Melayu ke peringkat maya yang akan memberi cabaran-cabaran baru kepada masyarakat bahasanya termasuk di negara ini untuk bersaing dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain. Ia juga digunakan sebagai medium bagi membincangkan aspek-aspek umum yang menjadi isu dan cabaran contohnya dalam aspek kehidupan, perniagaan dan pembelajaran.

Antara isu yang dibangkitkan adalah kewujudan bahasa belayu dalam konteks K-ekonomi. Perkembangan yang pesat dalam ICT telah membawa perubahan-perubahan yang pantas dalam mencorakkan bentuk perniagaan, struktur masyarakat dan persaingan yang sengit dalam pasaran antarabangsa. Perubahan-perubahan yang pantas ini telah mewujudkan ekonomi baru dunia yang dikenali sebagai K-ekonomi atau pun ekonomi berasaskan pengetahuan. Di dalam konteks ini, pengetahuan merupakan nadi kepada segala bentuk perlakuan dan pemikiran manusia dalam bidang ekonomi. Bahasa Melayu perlu cukup kukuh dan mantap untuk membolehkan ia berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan dan seiringan dengan bahasa-bahasa moden lain seperti bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin, Perancis, Arab dan Jepun.

Lebih-lebih lagi apabila ada sesebuah kelompok yang mempertikaikan kemampuan menjana idea baru, kreativiti dan inovasi dalam memantapkan penggunaan Bahasa Melayu. Masyarakat Bahasa Melayu perlu menerima hakikat perkembangan ICT adalah berhubung kait secara langsung dengan kemampuan menjana idea baru, kreativiti dan inovasi dalam memantapkan penggunaan Bahasa Melayu. Ketrampilan Bahasa Melayu di era siber adalah bergantung kepada sejauhmana masyarakat bahasanya mampu menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan persekitarannya atau bermaksud perkembangan teknologi dan maklumat. Masyarakat Bahasa Melayu perlu menukar pemikiran kepada penggunaan Bahasa Melayu yang didorongi oleh pengetahuan supaya memperolehi manfaat daripada penggunaan ICT ekoran daripada hasil perkembangan global.

Isu lain yang telah dibangkitkan ialah berkenaan persepsi kedudukan Bahasa Melayu terhadap penguasaan bahasa inggeris. Penekanan terhadap K-ekonomi yang dipercepatkan dengan kepesatan perkembangan ICT telah menjadikan penggunaan bahasa Inggeris semakin unggul sebagai bahasa pengantar masyarakat dunia selaras dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya sebelum ini sebagai bahasa antarabangsa. Peluasan dan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa tidak dapat dielakkan. Namun, fenomena ini tidak bermaksud untuk menidakkan kepentingan Bahasa Melayu tetapi meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa alat berkomunikasi dalam teknologi maklumat, internet dan dagangan antarabangsa. Manakala, Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan jati diri masyarakat bahasanya. Namun tidak mustahil dengan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak akan menjadikan Bahasa Melayu mempunyai peranan yang besar dalam penggunaannya di dalam ICT. Sehubungan dengan itu, penggunaan Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh masyarakat bahasanya mempunyai peranan yang berbeza dan tidak seharusnya menimbulkan konflik jika masyarakat bahasanya jelas tentang peranan penguasaan dan penggunaan kedua-dua bahasa tersebut.

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.
Justifikasi pelaksanaannya adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh sebelas pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina di kalangan murid-murid. Selain itu, Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.

Sungguhpun begitu, pernah juga diwar-warkan keberkesanan PPSMI dalam keputusan peperiksaan sekolah yang memberangsangkan, khususnya bagi mata pelajaran berkenaan ilmu sains dan matematik. Menurut pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Ramlan Sariman, mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan kelulusan membuktikan bahawa bahasa perantara bukan penghalang dalam kejayaan dalam pelajaran peringkat menengah.

Pada tahun 2008, Kementerian Pelajaran telah mula mengkaji semula dasar PPSMI dan dijangka mengambil keputusan terhadap PPSMI pada hujung tahun, berdasarkan keputusan UPSR dan faktor-faktor lain.

Cadangan Bagi Mengukuhkan dan Memupuknya

Media memainkan peranan yang penting dalam usaha memupuk dan mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu di pasca modenisasi ini. Hal ini kerana di zaman yang serba moden ini, teknologi yang kian membangun dengan pesatnya membuatkan manusia, khususnya masyarakat sekarang berada lebih dekat dengan teknologi. Oleh yang demikian, kerjasama dari pihak media amat-amat di perlukan dlm usaha mengukuhkan penggunaan Bahasa Melayu ini.

Selain menjadi medium penghantaran maklumat dan informasi, media juga menjadi mencerminkan masyarakat sesebuah negara. Sekiranya bahasa tersebut digunakan secara meluas dikalangan masyarakatnya, ia menunjukkan semangat perpaduan yang kuat wujud antara mereka.Sebagai contoh, keadaan malaysia yang mempunyai satu bahasa perpaduan iaitu Bahasa Melayu, hal ini perlu di ambil berat dan usaha memperluas penggunaannya perlu diteruskan bagi memartabatkan Bahasa Melayu . Contoh; rancangan-rancangan seperti berita dan maklumat, temu ramah dan wawancara dalam Bahasa Melayu memandangkan bilangan penontonnya yang agak ramai.

Usaha-usaha lain yang boleh dilakukan bagi memperluaskan dan memperkukuh Bahasa Melayu ialah melalui tayangan drama-drama dan filem-filem yang kian menambat hati penonton daripada segenap lapisan masyarakat. Suatu perkara yang perlu diberi perhatian ialah penyiaran filem dan drama bukan sahaja perlu menyalur maklumat, tetapi juga perlu menggunakan laras bahasa yang tepat dan betul supaya maklumat yang disampaikan tepat dan benar. Penggunaan bahasa rojak, bercampur baur dengan bahasa asing, meskipun menepati realiti tetapi memberi kesan pengaruh bahasa yang buruk kepada penonton dan masyarakat umumnya.

Pengaruh Iklan di televisyen juga tidak dapat dinafikan kesan pengaruhnya yang ternyata amat ketara sekali kepada penonton dan masyarakat. Hal ini ternyata telah lama disedari oleh pengusaha- pengusaha stesyen televisyen swasta dan kerajaan yang menjadikan ianya sebagai sumber pendapatan mereka. Jikalau tidak, masakan ratusan ribu ringgit sanggup dihabiskan bagi penyiaran iklan yang hanya beberapa saat. Oleh itu, pengaruh iklan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan cara menyiarkan iklan-iklan yang menggunakan laras Bahasa Melayu yang sopan dan betul. Iklan-iklan yang menggunakan laras bahasa yang tidak tepat, tentu tidak wajar kerana pengaruhnya yang besar mampu mendidik masyarakat kearah yang tidak baik. Sebagai contoh; iklan mengisi minyak yang ternyata kesannya amat memberangsangkan sekali. Dengan hanya kata-kata seringkas, angkat, tolak, masuk, picit, kanak-kanak seawal 10 tahun juga mampu melakukannya.

Kesimpulan

Usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu itu tidaklah digalas atau menjadi tanggungjawab bagi satu-satu pihak sahaja, tatapi kita semua, selaku pengguna Bahasa Melayu perlulah mempunyai rasa kebersamaan dalam memikul tugas menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang tersohor. Kita juga sebagai rakyat malaysia, tidak boleh tidak mesti mempunyai kesedaran akan peri pentingnya Bahasa Melayu itu sendiri sebagai wahana perpaduan bangsa.

Dalam pada itu, Bahasa Melayu itu sendiri perlulah disesuaikan mengikut peredaran zaman agar sesuai digunakan dalam era globalisasi, modenisasi dan ledakan maklumat zaman ini. Bahasa yang padat dan tepat perlu bagi memenuhi kehidupan yang semakin memerlukan maklumat yang pantas. Jika tidak, maka Bahasa Melayu itu akan ketinggalan, dan akhirnya tidak akan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain.

Akhir kata, cintailah bahasa kebangsaan, kerana bahasa itu adalah cerminan identiti bangsa.

No comments: